Nak derma yang lama atau baru?

June 13th, 2010

Sudah hampir dua bulan tidak menulis di ruangan ini. Agak lama masa yang diambil untuk menulis semula. Ya, blog ini adalah salah satu penanda aras di mana menentukan iman yang bersifat naik dan turun. Sesungguhnya saya bukanlah orang yang paling layak untuk menulis di blog seumpama ini memandangkan bukan dari latar belakang berpendidikan agama. Namun apa yang saya percaya agama ini bukanlah untuk ustaz-ustaz sahaja. Agama ini bukan untuk akhirat sahaja. Agama ini sesuai untuk kehidupan di dunia juga. Lihatlah dunia ini, tidak menjadi yang terindah dan terbaik akibat tidak mengikuti panduan al Qur’an. Ramai lagi yang tidak mahu mengamalkan al Qur’an kerana takut ketinggalan zaman. Ramai juga yang masih tidak menyampaikan ilmu yang mereka ada kerana masih bertelagah sesama sendiri dalam perbezaan pendapat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Infakkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata  (enggan) terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Mahakaya, Maha Terpuji” Al-Baqarah ayat 267

Sebaik-baik apa yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah kita yang sudah terbiasa menderma hendaklah mengikut perintah Allah untuk mengeluarkan derma apa yang terbaik yang kita ada kerana itulah yang sebaik-baiknya. Perkara ini memang yang menjadi peperangan di dalam diri sendiri di mana kalau kita memiliki baju yang lama dan yang baru, secara fitrah kita akan memberi baju yang lama untuk disedekahkan kepada orang-orang yang memerlukannya. Namun bukan semua sanggup melakukan termasuk yang sedang menulis ini. Alasan yang kerapkali diberikan adalah, baju lama banyak lagi kenapa mesti beri yang baru? Inilah antara bisikan syaitan yang selalu membisikkan di dalam hati manusia akan ketakutan untuk menjadi miskin. Adakah dengan bisikan ini kita mampu melawannya? Sudah bersediakah kita menghadapinya?

Awas! Ekonomi Islam diserang!

April 22nd, 2010

Dengan tidak disangka-sangka, mehnah buat salah sebuah syarikat bumiputera Islam telah diserang dengan pemalsuan produk ‘killer’nya kopi Radix.

kopi radix haram

Perbandingan Kopi Radix Asli dan Palsu (klon)

1. Bungkusan: Bungkusan kopi radix klon lebih besar
2. Logo HPA: Berbeza pada huruf P. Kopi radix klon terdapat titik hijau pada warna putih di tengah huruf P
3. Pada logo Halal : Tulisan rumi HALAL pada kopi radix klon tidak jelas ejaannya dan tidak boleh dibaca.
4. Sudu: Warna sudu kopi radix klon kabur dan tak bersilau.
5. Air kopi : warna air kopi klon keperangan dan buihnya tidak jelas.
6. Angka 23g: Kopi radix klon mempunyai border merah pada angka 23g.
7. Tulisan MS 1500:2004 dan 23g dicetak agak ke bawah hingga terkena di bahagian pengunci bungkusan.
8. Bijirin 3 biji kopi di atas cawan pada kopi klon tiada bayang hitam.
9. Tulisan RADIXRADIXRADIX yang keluar dari cawan tiada pada kopi klon.
10. Rasanya : Pahit terasa. Sudah pasti kopi klon berbahaya dan tiada jaminan ada 7 herba.

Penyelesaian:

1. Belilah Kopi Radix yang asli hanya dari cawangan dan stokis HPA yang sah sahaja.

2. Kepada penggemar kopi Radix yang sering minum di kedai, kami memohon supaya anda sahkan dari taukeh kedai adakah kopi Radix yang dijual adalah yang asli atau palsu. Sahkan siapa yang menghantar bekalan kopi Radix kepada mereka.

3. Kepada taukeh kedai, sahkan dari mana pembekal anda ini mendapatkan bekalan? Anda boleh minta mereka tunjukkan bukti/ resit pembelian mereka di cawangan @ stokis HPA. Jangan bersubahat dengan mereka yang ingin menjatuhkan perniagaan Muslim.

Hanya Kopi Radix yang asli mengandungi 7 herba terpilih dan SAH HALAL.
Janganlah untuk keuntungan yang lebih sedikit anda mengkhianati sesama Muslim.

Sumber: StokisHpaTitiSerong.blogspot.com & Hpa.com.my


Mehnah kepada semua pengedar-pengedar bertauliah HPA. Ujian kepada warga semua HPA menguji kesabaran dan keimanan kita seperti firman Allah dalam surah al Ankabut: ayat 2 bermaksud “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?

Dari mata turun ke hati

April 7th, 2010

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” Surah An Nur:30, “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan auratnya, kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) … ” Surah An Nur:31.

Begitulah serba sedikit tentang firman Allah di dalam surah An Nur. Allah telah memerintahkan kepada kaum lelaki agar menjaga pandangan matanya agar terpelihara imannya. Bak kata pepatah ‘Dari mata turun ke hati’, kerana matalah permulaan kepada mendekati zina. Hanya dengan melihat wanita yang bukan muhrim, akan jatuh ke dalam hati lelaki perasaan yang membawa kepada naluri fitrahnya, yakni mahukan cinta. Cinta yang asalnya berputik menjadi suatu perasaan yang membawa kepada istilah yang amat common pada zaman sekarang yakni ‘couple’. Tidak lengkap rasanya hidup seseorang itu sekiranya tidak ber’couple’. Jalan ini bukanlah terbaik, tetapi itulah yang diyakini oleh majoriti pemuda pemudi zaman sekarang. Maka beruntung kepada mereka yang menjadi golongan yang sedikit pada zaman ini, golongan yang berhempas pulas mengawal (bukan menahan) perasaan kepada golongan bukan satu jantina dengannya. Kerana apa yang penulis katakan, cinta sebelum pernikahan banyak dihiasi dengan lakonan supaya mendapat perhatian pasangannya. Oleh itu, selepas perkahwinanlah akan terbongkar perangai sebenar diri dan pasangannya.

Justeru, bagi wanita pula. Mereka perlu ditambah nilai sedikit dengan menutup perhiasan yakni auratnya. Malangnya kebanyakan wanita sekarang hanya memakai tudung hanya kerana adat. Penulis begitu terkejut kerana adanya kewujudan video lucah yang menunjukkan perbuatan tak senonoh wanita yang bertudung dan berbaju kurung lengkap. Nauzubillah. Penulis hanya mampu berdoa supaya orang-orang seperti ini diberi petunjuk oleh Allah S.W.T agar kembali memahami agama ini. Kerana agama ini yang memerintahkan supaya para wanita memakai tudung. Bukan setakat tudung, tetapi mestilah melepasi paras dada. Bersyukur di hati ini kerana ada di kalangan sahabat-sahabat penulis bertudung bukan kerana adat tetapi kerana fahamnya mereka kepada ayat-ayat Allah ini. Alhamdulillah…

Perit Jerih Pejuang

March 30th, 2010

Mungkinkah kita yang sedang berusaha untuk memenangkan Agama Islam merasa lelah dalam perjuangan. Adakah kita akan berhenti selepas kita diuji? Adakah kita akan berhenti selepas diuji dengan kemiskinan? Disakiti? Dicaci? Dilukai? Benarkah kita ini adalah orang yang berjuang? Benarkah? Benarkah? Wahai diri yang penakut lagi bacul? Benarkah diri ini percaya adanya syurga yang di sana?

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapakah apabila dikatakan kepada kamu, Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kehidupan di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit” At-Taubah: Ayat 38

Bilakah diri ini akan bangkit dari lena dunia yang tak henti-henti memanggil untuk menjadi hamba kepadanya. Lena dari menjadi hamba nafsu yang tak akan pernah puas. Bilakah!!? Diriku yang kotor dan hina. Moga dengan diri ini sentiasa percaya dan menaruh sepenuh keyakinan kepada janji Tuhannya yang tak pernah memungkirinya. Dan semoga lagu di bawah ini sentiasa menjadi inspirasi kepada diri ini.

Nasionalisme dan impaknya

February 20th, 2010

Gerakan nasionalisme bukanlah sesuatu yang baru lagi. Sejak dari zaman kemerdekaan hinggalah sekarang, topik nasionalisme menjadi antara topik yang popular dibicarakan di pentas politik Malaysia dan juga menjadi silibus buku-buku sejarah Tingkatan 5. Ingin tahu lebih lanjut apa itu Nasionalisme? Inilah dia salah satu ‘isme’ yang menjadi cabaran kepada dakwah kepada bangsa Melayu itu sendiri. Selain fahaman sekularisme dan liberalisme, inilah dia pemikiran yang harus dicabar dengan hujah-hujah yang baik dan jelas kerana bukan semua intipati nasionalisme dapat diterima Islam itu sendiri. Sebagai contoh, nasionalisme membenarkan suatu bangsa menindas dan menafikan hak bangsa lain demi memberi kelebihan kepada bangsa lain. Antara isu yang boleh dilihat adalah bangsa Melayu diberikan hak memasuki universiti dengan keputusan yang tidak seberapa sedangkan ada bangsa yang mendapat 10A1 di dalam peperiksaan SPM namun dinafikan haknya untuk menerima bantuan untuk memasuki universiti di dalam negara sendiri. Bukankah ini kezaliman namanya? Pasti ada yang mempersoal, “Mengapa nak menyoal, kamu tak nak bantu bangsa kamu sendiri ke?” Ya, memang kita mahu membantu bangsa kita sendiri dan ini bukanlah cara yang betul. Jika beria-ria mahu membantu, fikirkan bagaimana kita dapat usahakan bagaimana nak melonjakkan keputusan SPM pelajar-pelajar bangsa kita sampai tidak boleh dipersoalkan oleh bangsa lain. Bukannya menghalang hak dan kebolehan bangsa lain.

Islam menyuruh kita berlaku adil seperti mana yang dinyatakan di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. al-Mumtahanah: 8

Jadi apakah pilihan anda jika diberi kuasa untuk memberi bantuan? Islam atau bukan Islam?

Apsal nak ikut usrah ni?

January 28th, 2010

Assalamualaikum,

Semoga semua pembaca blog ini berada dalam kesihatan yang sejahtera dan keceriaan yang luar biasa. Amin

Sukar diungkapkan mengapa saya mengikuti usrah dari tahun 2005 hinggalah sekarang. Mengapa dan kenapa nak kena ikut usrah ni?Ada orang berkata kenapa nak ikut usrah,  kan banyak ceramah agama kat luar sana. Content dan kandungan ceramah agama kan lebih kurang sama je dengan usrah. Ya benar, kandungan ceramah agama sama saja dengan usrah dan kadang-kadang yang memberi ceramah itu lebih pakar dalam bidang yang disampaikan.

Tahukah anda apakah kelebihan berusrah?

1. Usrah membina tautan hati, naqib dan mad’u-mad’unya sentiasa bertanya khabar setiap kali berjumpa, kadang-kadang masalah peribadi dan pengalaman diri dikongsi bersama dalam usrah. Ada ke kita berkongsi masalah peribadi dalam ceramah-ceramah?

2. Membina kemahiran interpersonal skill. Naqib berupaya belajar untuk berkenalan dan memahami setiap mad’u-mad’unya, yang ini pendiam, yang ini peramah, yang ini sensitif dan yang ini sangat terbuka. Setiap orang akan dilayan sesuai dengan personaliti masing-masing. Ada tak penceramah mengenali nama dan personaliti setiap orang yang menghadiri ceramahnya?

3. Membina keyakinan diri bercakap. Setiap orang yang berada di dalam usrah itu mesti bercakap apabila diperlukan, tidak kira siapa pun dia. Dia mesti berani mengeluarkan pendapat dan pandangannya di dalam isu yang dibincangkan dalam usrah. Sekurang-kurangnya melatih membina keyakinan diri sebelum memberi ucapan dari kelompok yang lebih besar.

4. Melatih sikap ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan masing-masing. Tak semestinya naqib yang menyampaikan tajuk tersebut tahu semuanya tentang tajuk yang disampaikan. Ahli-ahli usrah lain juga boleh menambah apa yang kurang dan apa yang tidak lagi disentuh.

Namun, bukan sama sekali tidak perlu hadir ceramah. Saya tidak mengatakan ceramah tidak perlu, malah baik untuk hadir untuk menambah ilmu dengan orang yang ternyata lebih tinggi ilmunya. Bergantung pada niat masing-masing kenapa hadir berusrah, kerana amal tanpa niat tidak melahirkan pahala seperti dinyatakan dalam buku hadith 40, hadith 1

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar Ibn Khattab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Kesimpulan, apa pun yang kita buat niatkanlah kerana Allah. Insya allah diterima Allah.

Perniagaan yang tak pernah rugi

January 19th, 2010

Pernah tidak anda mengharapkan untuk memulakan perniagaan yang pasti tidak rugi? Bagaimana caranya? Dan yang paling penting betulkah ada perniagaan yang tidak pernah rugi?

Mustahil, mustahil kerana setiap perniagaan pasti berhadapan dengan risiko kerugian tidak kira sama ada perniagaan tersebut perniagaan kecil-kecilan atau perniagaaan yang besar modalnya. Bila nak mula berniaga pasti ada pengiraan risiko, adakah kemungkinan ada kerugian yang akan menjengah, atau keuntungan yang bakal diraih? Sungguh pasti kerugian menjadi suatu yang paling ditakuti oleh sesiapa saja yang bergelar usahawan, tidak kiralah dia itu usahawan internet ke, usahawan MLM ke, usahawan runcit ke, usahawan herba ke, kerugian adalah suatu yang bukan diharapkan dan dinantikan.

Dalam banyak-banyak perniagaan ada satu perniagaan yang tidak akan pernah rugi. Ada ke? Ya! Sudah tentu ada sama ada kita perasan atau tidak. Cuba renungi ayat-ayat dibawah ini

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah (Al-Qur’an) dan melaksanakan solat dan menginfakkan rezeki yang Kami anugerahkan kepada dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang TIDAK  AKAN RUGI” Al Fathir, 35:29

Sudahlah begitu urusniaga kita dengan Allah bukanlah susah sangat. Tapi pada zaman sekarang ketika ramai orang yang memilih untuk menjadi hamba kepada nafsu, hamba kepada wang, hamba kepada wanita, segala suruhan Allah yang simple dan hanya mengambil 10minit satu waktu solat tidak direbut. Sudah-sudahlah, berapa lama kita hidup di dunia ini 50 tahun? 100 tahun? 150 tahun? Penulis pun sama sahaja tidak menuruti perintah Allah dalam surah berikut

Sungguh beruntung orang-orang beriman.Yaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya Al Mukminun 23:1-2

Sungguh UNTUNG orang yang khusyuk dalam solatnya. Tetapi sesetengah orang ter’jumpa’ pen yang hilang di dalam solatnya, sesetengah orang pula terawang-awang mengingatkan peristiwa-peristiwa yang ‘happy gila’ bak kata remaja sekarang. Harapan tulisan ini dapat mengingatkan penulis dan pembaca sekelian. Penulis mendoakan agar semua pembaca dan penulis mencapai khusyuk dalam solat. Amin.

Masalah pernikahan

December 29th, 2009

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu, lalu sampai akhir idahnya, maka tahanlah mereka dengan cara yang baik, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik pula. Dan janganlah kamu tahan mereka dengan maksud jahat untuk menzalimi mereka. Barang siapa melakukan demikian, maka dia telah menzalimi dirinya sendiri. Dan janganlah kamu jadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan, Ingatlah nikmat Allah kepada kamu, dan apa yang telah diturunkan Allah kepada kamu yaitu Kitab (Al-Qur’an) dan Hikmah (Sunnah), untuk memberikan pengajaran kepadamu. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu”

Al- Baqarah: ayat 231

Sang suami bersikap dingin terhadap isterinya. Entah apa yang tidak kena. Sang suami seringkali pulang lewat bahkan tidak pulang ke rumah sehingga 2 minggu lamanya. Sang isteri tertanya-tanya mengapa dia diperlakukan begitu. Hanya mampu menunggu dan membuat panggilan telefon yang takkan dijawab. Ah, apakah dugaan yang menimpa keluarga ini. 5 orang anaknya disara dengan baik dan dididik dengan kasih sayang tanpa mengenal erti jemu tanpa suami. Si anak sulung memang tidak tahu apa-apa. Manakan tidak, dia merantau ke negeri orang mencari ilmu untuk masa depan keluarga.

Memang itulah dugaan yang terpaksa ditempuh isteri. Menahan tekanan tiada nafkah zahir dan batin. ”Oh tuhan, apakah hikmah di sebalik semua ini” bisik hati si isteri. Namun apa yang  hodoh tidak boleh disembunyi selama-lamanya. Sang suami bernikah lagi tanpa izin isteri pertama. Tinggal di tempat yang jauh dari rumah isteri pertama. Sudah begitu, tidak dilepaskan si isteri pertama dengan lafaz talak, nafkah pun di abaikan. Wahai anak-anak, malang sungguh nasib kalian, tidak punya wang untuk terus hidup.

Moral

Ternyata sang suami ini menzalimi isteri dan anak-anaknya jika dirujuk ayat Qur’an di atas. Agaknya kerana itulah Allah menyatakan dalam firmannya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu. Kepada sang suami, ingatlah Allah tahu apa yang anda lakukan. Persoalannya, adakah anak-anak si isterinya akan mengulangi apa yang dilakukan ayahnya. Ya pembaca sekalian, doakan mereka tidak mengulanginya. Amin

Gerakan Freemason sedunia (akhir)

December 28th, 2009

Falsafah materialisme Mesir masih wujud hingga ke hari ini. Pemikir-pemikir di zaman itu telah menghasil satu aliran pemikiran yang dinamakan pemikiran Hermaticism. Alexander dan Plato adalah antara pengikut aliran pemikiran ini. Pemikiran ini mengajar cara ritual dan sosial mengikut acuan pengasas Hermaticism yakni Hermes. Orang-orang yang menganut fahaman ini akan merekrut orang-orang di bawah mereka agar mereka dapat memahami pemikiran Hermaticism.

Bukan itu saja, aliran seperti Osiris juga muncul untuk menambahkan lagi fahaman-fahaman yang boleh merosakkan akidah umat islam. Osiris adalah pemikiran di mana mengiktiraf kelahiran tuhan. Mereka juga beriman dengan simbol-simbol purba dan karakter-karakter khas mereka.

Freemason kini adalah berasal dari tamadun jahiliah Mesir Purba, Yunani Purba dan Rom. Di mana mereka Firaun-Firaun ini tidak mengiktiraf kewujudan Allah S.W.T. Mereka membina Heliopolis dan Memphis di mana tempat ini adalah tempat sumber ilmu pengetahuan dan sains. Cendekiawan-cendekiawan pada waktu itu Pythagoras, Plato dan Cicero menyertai Freemason pada ketika ini.

Majalah Mimar Sinan menyatakan tanggungjawab Firaun adalah mencari cahaya yakni ilmu dan anggota Freemason ketika itu berusaha membina kuil Sulaiman. Al- Qur’an menyebutkan tentang Firaun ini pada surah Az-Zukhruf, ayat 54

“(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya, sesungguhnya mereka itu kaum yang fasiq - derhaka”

Kesimpulan

Walaupun banyak istilah-istilah baru yang dituliskan dari awal artikel-artikel Freemason ini. Semuanya adalah diambil dari buku Gerakan Freemason Sedunia karangan Harun Yahya yang diterjemahkan Rohidzir Rais ke dalam bahasa Melayu. Semoga artikel ini memberi pengetahuan baru tentang gerakan rahsia dan terancang ini.

Mas kahwin negeri Selangor meningkat

December 27th, 2009

“Sidang jemaah yang saya hormati sekelian, dengan ini saya ingin mengumumkan mas kahwin bagi pasangan yang bakal bernikah di negeri Selangor meningkat kepada RM200″ ucap imam di sebuah Masjid di Hulu Langat. Jika dahulunya mas kahwin bernilai RM80 di negeri Selangor, kini ia meningkat kepada RM2oo, meningkat lebih 2 kali ganda pada asalnya.

“Orang bujang jangan memandang perkara ini terlalu membebankan, jika betul emas kahwin sudah naik. Berbincanglah dengan bakal mertua agar jumlah nilai hantaran boleh dikurangkan” Ucap imam itu lagi kepada jemaah solat Jumaat.

Pada dasarnya memang emas kahwin itu wajib seperti yang dinyatakan di dalam surah An-Nisa, ayat 4.

“Dan berikanlah maskahwin (mahar) kepada perempuan yang kamu nikahi sebagai pemberian yang penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari maskahwin itu dengan senang hati, maka terimalah dan nikmatilah pemberian itu dengan senang hati”

Itulah pemberian yang wajib kepada seorang lelaki kerana lelaki itu adalah pemimpin kepada perempuan di dalam sebuah rumah tangga. Sesungguh suami itu adalah bertanggungjawab penuh kepada keluarga tak kira di mana jua.