Archive for May, 2009

Usrah, perlu menyentuh hati

Saturday, May 9th, 2009

Di petik dari www.studiomuslim.com

Usrah adalah sekumpulan manusia berkumpul dan berbincang dengan pengisian tertentu setiap sesi bagi memantapkan kepercayaan kepada Allah.

Assalamualaikum.

Saya Nurul(bukan nama sebenar), saya nak tanya pendapat awak. Usrah yang kami buat kurang bergerak disebabkan tidak mendapat sambutan. Mungkin salah satu faktor ialah sebilangan dari kami sekolah biasa-biasa sahaja, bukan dari sekolah agama. Jadi pengetahuan agama kami agak cetek dan mungkin pengisian kami agak lemah. Jadi, saya nak tanya pendapat awak apa kami patut lakukan nak mantapkan usrah kami. Bagaimana kami nak ajak junior sertai usrah?

Teringat saya sendiri pernah bertanya kepada diri sendiri soalan sebegini. Walaupun saya datang dari sekolah agama, tetapi semasa sekolah dahulu tidak pernah saya ke hadapan menyampaikan tazkirah, selalu ponteng-ponteng program ceramah dan kalau ada program bersifat keagamaan sayalah antara mereka yang mencari alasan untuk tidak hadir.

Jadi, mudah sahaja yang tidak semua pelajar sekolah agama adalah mereka yang pandai agama. Tidak semua pelajar sekolah agama minat hendak belajar agama. Sepatutnya persoalan saya tidak dapat berdakwah kerana saya bukan dari sekolah agama tidak muncul.

Mungkin juga apabila sudah ada cop ‘Bekas Pelajar Sekolah Agama’ pada diri lebih mudah untuk berdakwah. Tidaklah dapat dinafikan kenyataan sebegitu, cuma seorang sahabat seusrah saya yang bukan dari sekolah agama boleh berdakwah dengan begitu mudah sekali.

Soalnya adalah bagaimana kita mempromosikan dakwah tersebut.

Memenuhi keperluan psikologi

Macam jurujual, salah cara promosi siapa yang hendak beli produknya. Tersalah cakap sedikit, lari orang sebelum dia menamatkan skrip menjualnya. Begitu juga dengan kita yang ingin mempromosikan usrah atau mengajak orang lain sama-sama berusrah.

Apabila kita jumpa pelanggan, pertama sekali yang perlu dibuat adalah kita memenuhi keperluan psikologi pelanggan tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan keperluan psikologi?

Secara mudahnya keperluan psikologi adalah keperluan emosi seseorang itu. Kalau dia rasa sedih, kita cuba gembirakan. Kalau dia ingin disanjung, kita sanjung-sanjungkan. Kalau dia rasa kuasanya perlu dihormati, kita mestilah tunjukkan rasa hormat. Ini adalah perkara asas dalam urusan berurus niaga.

Contohnya katakan anda ingin berjumpa dengan seorang yang ternama. Orang ini boleh dikatakan paling dihormati rakyat macam Tuan Guru Nik Aziz atau mungkin pakar kewangan Azizi Ali. Tiba-tiba dia memanggil anda dengan panggilan Tuan.

Saya bagi satu situasi. Ada seorang lelaki bernama Ahmad ingin berjumpa seorang Pengarah Syarikat yang maju. Pada awalnya sebelum berjumpa, Ahmad berkata dalam hati, “Ah, dia ini orang ternama. Manalah nak tegur pelajar universiti macam aku.”

Sebaik sahaja disilakan oleh Setiausaha syarikat ke dalam bilik Pengarah, Pengarah tersebut yang terlebih dahulu menanyakan khabar.

“Ya, tuan Ahmad. Apa khabar tuan hari ini?”

Apa agak-agaknya perasaan Ahmad? Mestilah dalam hati rasa serba salah. Patutkah orang ternama ini memanggil aku tuan. Tetapi dalam pada masa yang sama, secara tidak langsung pandangan Ahmad terhadap orang ternama tersebut tentulah berubah – daripada persepsi negatif pada awalnya kepada persepsi positif.

Apabila kita berjumpa dengan anak usrah begitu juga yang perlu kita buat. Isi keperluan psikologinya dahulu. Bila emosinya sudah tenteram, barulah seronok hendak menerima pengisian.

Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Begitu juga dengan kisah Nabi Muhammad yang dicaci dan dihina oleh seorang perempuan Yahudi setiap kali beliau lalu di hadapan rumah perempuan tersebut. Mungkin emosi perempuan tersebut terganggu dengan kedatangan Islam lantas setiap kali Nabi Muhammad lalu di hadapan rumahnya dia baling dengan najis.

Suatu hari perempuan tersebut jatuh sakit dan apa yang Nabi Muhammad buat, beliau melawat perempuan tersebut dan membantu meringankan beban perempuan tersebut. Terus terubat emosi perempuan tersebut dan akhirnya memeluk Islam.

Koreksi diri

Andai kata ada seorang anak usrah mengatakan usrah kita itu membosankan. Seorang rakan saya mencadangkan agar kita pelbagaikan aktiviti untuk usrah kita itu. Contohnya seperti setiap petang, akan ada latihan badminton bersama atau seminggu sekali main futsal bersama atau lagi seronok kalau sebulan sekali boleh mandi-mandi air terjun.

Mungkin juga kita perlu melihat ke dalam diri sendiri terlebih dahulu. Periksa apa silap atau kekurangan kita. Kalau kita ini orangnya terlalu tegas, belajar buat humor sekali sekala. Kalau kita ini orangnya terlalu bersahaja, belajar tegas sekali sekala.

Dosa menyebabkan kefakiran

Friday, May 8th, 2009

Dipetik dari majalah Solusi no. 3   

         Dalam kuliah-kuliah pengajian, guru-guru kita misalnya pernah mengingatkan, bahawa ada dosa yang menyebabkan kefakiran dalam kehidupan. Dosa zina misalnya, menyebabkan si pelakunya hidup dalam kefakiran.

         Benarkah begitu? Mungkin ada yang memprotes, ah, si polan memang terkenal malah berbangga dengan melakukan zina tetapi kenapa hidupnya masih kaya raya? Hartanya berjuta, vila dan bungalownya tidak terkira.

        Jangan terkeliru dengan istilah ‘fakir’ - ia bukan bermakna tidak berharta atau tidak berduit sahaja, tetapi fakir hakiki ia mereka yang sentiasa merasa tidak cukup dengan wang dan harta yang ada. Walaupun, harta berjuta, tetapi masih merasa papa. Hidup sentiasa diburu waktu, dalam fikiran hanya ada ringgit dan dolar.

        Renungilah betapa seksanya hidup si kaya yang “papa” ini. Sibuk mencari kekayaan hingga tidak sempat menikmatinya. Sibuknya tidak berkesudahan, Letihnya, stres dan tekanan berpanjangan. Tenang dan resahnya ditentukan indeks komposit di papan tanda saham.

        Punya harta membeli makanan lazat, tetapi tidak dapat merasainya kerana kencing manis, lemah jantung dan sebagainya. Bukan sahaja ia tidak dapat menikmati harta yang dimilikinya, malah anak isterinya pun tidak dapat “memilikinya” - berada di rumah dan di pangkuan keluarga hanya beberapa hari dalam sebulan, beberapa minggu dalam setahun.

        Konon, harta dicari untuk membahagiakan keluarga, tetapi dalam pencarian harta dia sudah pun “kehilangan” keluarganya.