“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu, lalu sampai akhir idahnya, maka tahanlah mereka dengan cara yang baik, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik pula. Dan janganlah kamu tahan mereka dengan maksud jahat untuk menzalimi mereka. Barang siapa melakukan demikian, maka dia telah menzalimi dirinya sendiri. Dan janganlah kamu jadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan, Ingatlah nikmat Allah kepada kamu, dan apa yang telah diturunkan Allah kepada kamu yaitu Kitab (Al-Qur’an) dan Hikmah (Sunnah), untuk memberikan pengajaran kepadamu. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu”
Al- Baqarah: ayat 231
Sang suami bersikap dingin terhadap isterinya. Entah apa yang tidak kena. Sang suami seringkali pulang lewat bahkan tidak pulang ke rumah sehingga 2 minggu lamanya. Sang isteri tertanya-tanya mengapa dia diperlakukan begitu. Hanya mampu menunggu dan membuat panggilan telefon yang takkan dijawab. Ah, apakah dugaan yang menimpa keluarga ini. 5 orang anaknya disara dengan baik dan dididik dengan kasih sayang tanpa mengenal erti jemu tanpa suami. Si anak sulung memang tidak tahu apa-apa. Manakan tidak, dia merantau ke negeri orang mencari ilmu untuk masa depan keluarga.
Memang itulah dugaan yang terpaksa ditempuh isteri. Menahan tekanan tiada nafkah zahir dan batin. ”Oh tuhan, apakah hikmah di sebalik semua ini” bisik hati si isteri. Namun apa yang hodoh tidak boleh disembunyi selama-lamanya. Sang suami bernikah lagi tanpa izin isteri pertama. Tinggal di tempat yang jauh dari rumah isteri pertama. Sudah begitu, tidak dilepaskan si isteri pertama dengan lafaz talak, nafkah pun di abaikan. Wahai anak-anak, malang sungguh nasib kalian, tidak punya wang untuk terus hidup.
Moral
Ternyata sang suami ini menzalimi isteri dan anak-anaknya jika dirujuk ayat Qur’an di atas. Agaknya kerana itulah Allah menyatakan dalam firmannya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu. Kepada sang suami, ingatlah Allah tahu apa yang anda lakukan. Persoalannya, adakah anak-anak si isterinya akan mengulangi apa yang dilakukan ayahnya. Ya pembaca sekalian, doakan mereka tidak mengulanginya. Amin
