Archive for the ‘Pengalaman’ Category

Nak derma yang lama atau baru?

Sunday, June 13th, 2010

Sudah hampir dua bulan tidak menulis di ruangan ini. Agak lama masa yang diambil untuk menulis semula. Ya, blog ini adalah salah satu penanda aras di mana menentukan iman yang bersifat naik dan turun. Sesungguhnya saya bukanlah orang yang paling layak untuk menulis di blog seumpama ini memandangkan bukan dari latar belakang berpendidikan agama. Namun apa yang saya percaya agama ini bukanlah untuk ustaz-ustaz sahaja. Agama ini bukan untuk akhirat sahaja. Agama ini sesuai untuk kehidupan di dunia juga. Lihatlah dunia ini, tidak menjadi yang terindah dan terbaik akibat tidak mengikuti panduan al Qur’an. Ramai lagi yang tidak mahu mengamalkan al Qur’an kerana takut ketinggalan zaman. Ramai juga yang masih tidak menyampaikan ilmu yang mereka ada kerana masih bertelagah sesama sendiri dalam perbezaan pendapat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Infakkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata  (enggan) terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Mahakaya, Maha Terpuji” Al-Baqarah ayat 267

Sebaik-baik apa yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah kita yang sudah terbiasa menderma hendaklah mengikut perintah Allah untuk mengeluarkan derma apa yang terbaik yang kita ada kerana itulah yang sebaik-baiknya. Perkara ini memang yang menjadi peperangan di dalam diri sendiri di mana kalau kita memiliki baju yang lama dan yang baru, secara fitrah kita akan memberi baju yang lama untuk disedekahkan kepada orang-orang yang memerlukannya. Namun bukan semua sanggup melakukan termasuk yang sedang menulis ini. Alasan yang kerapkali diberikan adalah, baju lama banyak lagi kenapa mesti beri yang baru? Inilah antara bisikan syaitan yang selalu membisikkan di dalam hati manusia akan ketakutan untuk menjadi miskin. Adakah dengan bisikan ini kita mampu melawannya? Sudah bersediakah kita menghadapinya?

Dari mata turun ke hati

Wednesday, April 7th, 2010

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” Surah An Nur:30, “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan auratnya, kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) … ” Surah An Nur:31.

Begitulah serba sedikit tentang firman Allah di dalam surah An Nur. Allah telah memerintahkan kepada kaum lelaki agar menjaga pandangan matanya agar terpelihara imannya. Bak kata pepatah ‘Dari mata turun ke hati’, kerana matalah permulaan kepada mendekati zina. Hanya dengan melihat wanita yang bukan muhrim, akan jatuh ke dalam hati lelaki perasaan yang membawa kepada naluri fitrahnya, yakni mahukan cinta. Cinta yang asalnya berputik menjadi suatu perasaan yang membawa kepada istilah yang amat common pada zaman sekarang yakni ‘couple’. Tidak lengkap rasanya hidup seseorang itu sekiranya tidak ber’couple’. Jalan ini bukanlah terbaik, tetapi itulah yang diyakini oleh majoriti pemuda pemudi zaman sekarang. Maka beruntung kepada mereka yang menjadi golongan yang sedikit pada zaman ini, golongan yang berhempas pulas mengawal (bukan menahan) perasaan kepada golongan bukan satu jantina dengannya. Kerana apa yang penulis katakan, cinta sebelum pernikahan banyak dihiasi dengan lakonan supaya mendapat perhatian pasangannya. Oleh itu, selepas perkahwinanlah akan terbongkar perangai sebenar diri dan pasangannya.

Justeru, bagi wanita pula. Mereka perlu ditambah nilai sedikit dengan menutup perhiasan yakni auratnya. Malangnya kebanyakan wanita sekarang hanya memakai tudung hanya kerana adat. Penulis begitu terkejut kerana adanya kewujudan video lucah yang menunjukkan perbuatan tak senonoh wanita yang bertudung dan berbaju kurung lengkap. Nauzubillah. Penulis hanya mampu berdoa supaya orang-orang seperti ini diberi petunjuk oleh Allah S.W.T agar kembali memahami agama ini. Kerana agama ini yang memerintahkan supaya para wanita memakai tudung. Bukan setakat tudung, tetapi mestilah melepasi paras dada. Bersyukur di hati ini kerana ada di kalangan sahabat-sahabat penulis bertudung bukan kerana adat tetapi kerana fahamnya mereka kepada ayat-ayat Allah ini. Alhamdulillah…

Hari yang selalu saya lupakan

Monday, December 14th, 2009

‘Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu, sungguh, guncangan hari kiamat itu adalah suatu (kejadian) yang sangat besar. (Ingatlah) pada hari ketika kamu melihatnya (guncangan itu), semua perempuan yang menyusui anaknya akan lalai terhadap anak yang disusuinya, dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya, dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu sangat keras’ Surah Al Hajj, ayat 1 dan 2.

Kadang-kadang saya terasa sangat sedap mengejar nikmat dunia ini, sedangkan akhirat itu yang abadi. Kadang-kadang saya selalu berfikir bagaimana nak mengecap nikmatnya wang dunia ini, sedangkan membawa orang memahami islam lebih baik dari dunia dan segala isinya. Itulah yang berlaku kepada diri saya selama 6 bulan selepas tamat belajar di IPT. Sangat terlupa ada hari yang sudah PASTI akan datang, namun fokus saya lari dan semakin lari. Namun dengan bantuan Allah, hati ini tersedar dan kembali meng’audit ‘ diri dan memberi sedaya-upaya dan apa yang boleh melalui blog ini. Oh! Terima kasih kepada yang sudi memberi komen dalam blog ini, anda dihargai dan ditulis ‘gaji’ anda oleh para malaikat, Insya Allah.

Teruskan men’gomen’

Konvensyen kedua dalam hidup saya

Thursday, July 30th, 2009

Rasanya hampir 6 tahun saya meninggalkan konvensyen di MRSM Kuantan dahulu. Kini baru lepas satu lagi konvensyen. Konvensyen ni tiada kaitan dengan akademik. Ada ke konvensyen yang tiada kaitan dengan akademik? Ada ke?

Ada…

Konvensyen Graduan Nasional 09 anjuran JIM Pusat.

“Lim, jom la join KGN anta tu dah tua lah” usik Asrul

“Tak bolehlah, muka anakan macam budak sekolah menengah. Nak pergi usrah belia pun naqib tak bagi. Sah-sah ana ni belum cukup umur lagi” kata saya berseloroh.

“Alah, sudahlah. Pergilah program UiTM Puncak Alam tu. Jadilah student balik” Provok Asrul

“Ana tak kisah!!!Hahaha” kata saya sambil tergelak.

Namun, sebaik mana pun manusia merancang. Perancangan Allah jualah yang terbaik.

Sebaik balik kerja dan sampai di rumah. Saya membuka pintu dan memberi salam.

“Waalaikumsalam” Jawab Asrul.

Sambil melabuh punggung ke atas lantai dan bersila di bawah kipas.

Asrul membuka bicara “Eh, anta tahu tak yang program UiTM Puncak Alam dah cancel”

“Ah tak cayalah, ada je nak dengki dengan ana” gurau saya.

“Hak ela, tak caya cuba tanya Pengarah program” kata Asrul.

Terus saja naik ke tingkat atas berlalu meninggalkan Asrul. Saya menelefon dan menghantar SMS kepada pengarah dan timbalan pengarah program. Tapi kedua-keduanya tak menjawab.

10 minit kemudian pengarah program balik.

” Abang Zul, betul ke Program Puncak Alam cancel?” Tanya saya.

“Alamak lupa bagitahu, soryyyy banyak-banyak Lim” kata Abang Zul sambil menepuk dahi.

“Aiseh, camne ni nampaknya kena tukar plan pergi KGN pulalah ni” bisik hati saya.

Keesokkan harinya bermulalah program ‘Konvensyen’ kedua dalam hidup saya. Terus saja masuk ke Masjid Muadz Bin Jabal keseorangan dengan menunggang motosikal. Amat ramai juga yang join, dan yang pasti akhawat lebih ramai. ‘Standard’lah tu.

Perkongsian yang menarik minat saya adalah pada malam harinya. Kisah cerita keluarga duat. Kejutan pertama buat saya, salah seorang panel yang saya sangkakan selama ini namanya Abu Dzar tetapi nama sebenarnya ialah Ahmad Yusri Azme.  Kemudian tidak dapat digambarkan betapa sibuknya ibu bapa yang bergelar duat apabila anak-anak mereka mengadu tidak seperti hidup keluarge yang lain. Bila hujung minggu saja, pasti ibu bapa mereka tiada di rumah. Sibuk dengan benda lain. Begitulah secebis dugaan yang diceritakan oleh Ir Zairulshahfuddin. Abu Dzar pula menceritakan bagaimana rakan-rakan tempat kerjanya seringkali berkata “Ah kau ni, tiap-tiap minggu program,program,program, jomlah join kitorang pergi memancing”. Manakala Ummi Roses menceritakan bagaimana beliau telah dilamar oleh orang kebanyakan. Bagaimanapun yang uniknya beliau tidak pernah melalui proses Baitul Muslim tetapi secara direct dari seorang lelaki. Yang amat menarik perhatian telinga dan hati saya adalah bagaimana beliau dan suaminya dulu bertaaruf di dalam sebuah perpustakaan di dalam ITM(sekarang UiTM). Soalan yang ditanya Ummi kepada bakal suaminya ketika itu ” Boleh ke keluarga awak terima saya dengan tudung labuh macam ni?” dan “Awak tak kisah ke nanti saya keluar rumah sebab nak bawa dan ikut usrah?”. Amat telus soalannya, setelus hati mereka yang bersungguh untuk mengikat tali pernikahan dengan cara yang sah.

Harapan saya agar saya dapat amalkan apa yang telah saya pelajari di dalam konvensyen ini. Insya Allah.

Aku, usrah dan…

Monday, July 20th, 2009

Mengenang kembali aku dan usrah, sudah hampir 2 tahun aku menjadi ahli usrah. Seingat aku sejak Julai 2007. Apa tujuan aku berusrah. Of course niat aku adalah untuk mempelajari agama yang aku anuti dengan lebih dekat. Mula dengan mengenali siapa tuhanku sehingga ke tahap yang paling mencabar yakni dakwah.

Gambar Hiasan

Aku tersentuh dengan kata-kata naqib aku yang mengatakan hasil tarbiah yakni mengikut usrah, menjadikan seseorang itu membawa seseorang itu ke tahap yang lebih baik. Aku merasa satu perkara yang kurang yang ada pada diri aku. Kerana apa? Kerana aku masih tidak lepas ujian hafazan yang diberikan oleh naqib kepadaku. Sudah aku usahakan semester dahulu, hanya berjaya 1 ayat dari 7 ayat. Semester ini pula 2 ayat dari 7 ayat. Aku tak berpuas hati. Kenapa? Kerana aku untuk minggu ini saja sudah terlepas solat Subuh berjemaah selama 3 hari. Apa maknanya? Maknanya iman aku sudah turun selain kerana tidur lambat dari biasa.

Seperkara lagi, aku kurang menonjol dari segi kepimpinan kerana sifat pendiam yang aku miliki. Oh tidak! kenapa ya? Mungkin belum mempunyai jiwa yang besar seperti sahabat-sahabat yang lain. Aku malu Ya Allah! Mungkin sikap ini masih tak berubah kerana terlalu memikirkan dunia yang sempit ini. “Apakah ubat bagi kelemahanku ini?” Bisik hatiku.

Kawan-kawan yang terbaca mungkin memberi komen membina jika sudi :D

Baiklah kelebihanku, sebelum berhenti mengetuk papan kekunci(keyboard ini). Aku seorang yang rajin dan mampu memikul tugas jika diberi amanah. Pasti buat yang terbaik walaupun sesusah mana sekalipun. Dan yang takde pada orang lain, amat minat berniaga. Bukan senang weh! Orang lain mindset mesti nak bekerja. Har har!

Tentang Dia

Friday, July 10th, 2009

“Assalamulaikum, adik bekerja kat sini ke?” Tanya seorang India dengan bahasa pelat Indianya.

“Ye saya” jawab saya.

“Adik sorang je ke. Bos ada?” Tanya dia.

“Dia ke tandas. Kejap lagi balik la tu” Balas saya.

Dia datang bersama seorang lagi orang India. Tidak pasti saya adakah itu kawan dia.

“Kenapa encik nak jumpa dia ke?” Tanya saya.

“Ya la dik, saya nak minta diskaun buku dari dia. Kalau tak ada tak apalah nanti saya datang balik” jawabnya. Dia berlalu keluar kedai tanpa penjelasan lebih lanjut.

“Customer lamalah ni” Bisik hati saya.

Cerita sedih India muslim

Kira-kira 2 jam selepas itu. India yang sama masuk kembali ke dalam kedai. Semasa itu saya bersama Kak Ina, sedang menyusun buku-buku yang ada untuk pengiraan stok. Dia menolak pintu kaca kedai dan memberi salam. Terus saja kami berdua membalas salamnya. Dia terus duduk ke atas kerusi betul-betul di hadapan kaunter bayaran. Kak Ina terus bertanya “Boleh saya bantu Encik?”.

Saya memerhati dari dekat betul-betul di sebelah Kak Ina.

“Macamana saya nak mula ya?” Kata India itu berseorangan ketika itu.

Dia memandang ke arah bawah dan mengerutkan sedikit dahinya yang gelap itu. Sekonyong-konyong dia menyeluk tangan ke dalam poket seluarnya lalu mengeluarkan dompet. Dikeluarkan pula kad masuk Islam dari Jabatan Agama Islam. Tertera tahun 2006 dia masuk Islam.

“Saya ada masalah sikit, saya masuk Islam tahun 2006. Mula-mula isteri saya tak tahu. Saya pandai-pandai sembunyikan dari isteri. Kemudian saya bercerai lalu terus langsung isteri saya bawa anak-anak saya berpisah. Pada mulanya memang bermasalah nak jumpa anak. Tapi lama-lama dia benarkan jumpa anak saya tapi bukan di dalam tapi di luar rumah. Saya tak lepaskan tanggungjawab saya sebagai seorang ayah. Nafkah anak bini semua saya kasi. Sekarang saya diberhentikan kerja secara kontroversi. Gaji saya dulu RM5000. Sekarang takde pendapatan, dulu duduk rumah sewa di Puchong, sekarang menumpang di PERKIM Seremban. Saya mahu minta adik sikit duit la sebab saya takde duit nak balik itu Seremban sana” ceritanya panjang lebar.

“Takkan takde langsung simpanan?” tanya Kak Ina.

“Takde la dik. Saya datang sini pun duit cukup-cukup saja. Saya tak kisahlah adik nak bagi berapa. Asal ikhlas sudah la dik” Balas India itu.

“Sekarang mahu balik berapa banyak duit nak pakai? tanya Kak Ina.

“Tak banyak RM30 sahaja, kalau tak banyak sikit pun tak apa nanti saya mintalah 2,3 orang lain kalau diorang ada juga nanti” balas India tersebut.

“Saya pun gaji baru kena potong 20% ni, ni je yang saya boleh bagi” kata Kak Ina sambil menghulurkan RM5, muka Kak Ina berkerut sedikit, mungkin terngiang-giang kata-kata bos “Ina, gaji kamu dipotong”. Pada masa yang sama saya pun mengulurkan sekeping not merah.

“Terima kasih la dik” balas India tersebut.

Spontan saja dia bangkit dari kerusi.

“Nanti kalau ada rezeki kita jumpa lagi” kata India tersebut sambil menarik pintu dan terus keluar dari kedai.

2 hari kemudian

Seorang lelaki berkulit gelap, berkemeja putih, berseluar hitam saya perhati dari jauh.

“Aik macam kenal je ni” Bisik hati saya.

Saya berjalan ke depan dan dia berjalan ke arah saya. Saya merenung saja muka dia tanpa terlepas pandang ke mana-mana. Sebaik sahaja kami hampir bertembung…

“Assalamualaikum” saya memberi salam sambil menghulur tangan. Dia menjawab dan menjabat tangan saya.

“Saya sudah dapat gaji la dik” kata India tersebut. Spontan di mengeluarkan cek dan menunjukkan jumlah tertera RM15,000. Logo Standard Chartered terpapar di atas RM15,000.

“Ini duit pampasan dari syarikat ke?” Soal saya.

“Tak, ini duit yang mereka bagi beberapa bulan gaji saya yang tak terbayar” kata India itu.

“Nanti adik kita jumpa kedai sana, saya bayar adik punya duit hari itu” sambung dia lagi.

Saya terus berlalu meninggalkan dia tanpa berkata apa-apa.

Tetapi selepas solat dan kembali semula ke kedai hingga saat menutup kedai. Kelibat dia langsung tak kelihatan.

Herm….. Aku ni terlalu baik ke atau dia yang terlalu baik..

Aku kena tipu ke atau India tu menipu diri sendiri….

Habis tu nak buat macamana? Perlu ke saya mengambil sebilah pisau seterusnya tarik lidahnya lalu memotong secara menyerong atau cincangkan saja?

Kereta Mayat

Saturday, July 4th, 2009

Petikan dari www.azzariyat.com

Sedar tak kita bahawa tubuh yang kita miliki ini sebenarnya kepunyaan Allah? Tubuh ini bukanlah hak milik kekal abadi kita, tapi pinjaman dari Allah SWT. Menyedari hakikat ini, menimbulkan keinginan saya untuk berpesan buat diri sendiri dan rakan-rakan semua yang tubuh kita juga punya hak. Hak yang mesti kita tunaikan. Jom selongkar, apakah hak-hak tubuh kita?

Makanan yang berkhasiat

Hari-hari kita makan dan minum. Tahukah anda tubuh kita juga punya hak untuk mendapat makanan dan minuman secukupnya. Supaya tubuh ini dapat berfungsi dengan baik, maka pilihlah makanan yang berkhasiat untuknya. Janganlah kerana alasan ingin berdiet, maka anda abaikan hak tubuh anda untuk mendapatkan nutrien yang secukupnya daripada tuannya. Makan untuk hidup, makan untuk sihat, makan untuk beribadah. Makan itu penting, maka hargailah nikmat makan.

~yogurt calci-yum~

Ini makanan tambahan kegemaran saya. Tidak dinafikan selain makanan ruji seperti nasi untuk dapatkan tenaga, kita perlukan makanan tambahan untuk dapatkan sumber vitamin lain untuk tubuh kita. Tapi janganlah lupa, dalam keghairahan kita memenuhi keperluan tubuh kita, fikirkan juga tentang nasib saudara-saudara kita di Palestin dan seluruh dunia. Kebanyakan sumber tenusu adalah product Nestle(Yahudi) dan Dutch, yakni produk dari negara-negara yang perlu diboikot. Maka, belilah Fernleaf. Hehe..iklan sekejap, Fernleaf adalah sumber tenusu dari New Zealand di bawa ke Malaysia oleh sebuah syarikat hak milik Syed Mokhtar al-Bukhary. Jadi, jom pakat beli ramai-ramai. Disamping menyihatkan tubuh, boleh menyumbang kepada kemajuan ekonomi umat Islam. Nak tambah pahala lagi? Makanlah dengan niat yang betul dan bersyukurlah kepadaNya ar-Razak, Yang Maha Pemberi Rezeki.

Daripada Anas r.a. pula, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sesungguhnya Allah itu nescayalah redha pada seseorang hambaNya, jikalau ia makan sesuatu makanan lalu memuji kepada Allah kerana adanya makanan itu, atau minum suatu minuman lalu memuji padanya kerana adanya minuman itu.”(Riwayat Muslim)

Senaman Ringan

Dalam kesibukan kita mengharungi kehidupan sebagai seorang pelajar, kadang-kadang kita mengabaikan hak tubuh kita yang satu ini. Saya bukanlah mereka yang fanatic dengan aerobic, skipping atau jogging untuk mengurangkan lemak di badan, tapi saya juga tidak menafikan ini semua penting untuk menjamin kesihatan tubuh kita. Tubuh yang kita miliki ini masih tidak diketahui panjang pendek umurnya, namun seboleh mungkin peliharalah ia sebagaimana saat diberikan kepada kita, semua sistem dalaman berfungsi dengan baik, begitulah juga hendaknya keadaan tubuh ini saat dipulangkan nanti.

Tak cukup masa? Saya ada alternative lain untuk anda. Bagi kaum adam, mungkin mereka telah terlebih bersenam dengan aktiviti main bola dan futsal yang kerap diadakan. Tapi, bagaimana pula keadaannya dengan kita kaum hawa? Seperti yang dinyatakan tasi, saya memang tak berminat dengan aktiviti aerobik dan seumpamanya, maka saya ingin kongsikan alternatif lain yang dapat kita amalkan untuk mendapat pulangan yang sama seperti itu, malah lebih baik lagi.

tangga

Ya, inilah jawapannya. Gunakanlah tangga untuk turun ke surau. Selain mendapat faedah sepewrti bersenam, kita juga beroleh pahala menunaikan solat berjemaah di surau. Malahan, pahala itu digandakan lagi apabila kita menambah bilangan langkah kaki ke surau. Wah…bonus 3 dalam 1. Come on gurls~ Jom, jaga kesihatan dan tambah amal!!

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Apabila seseorang itu telah berwuduk dengan sempurna dan menuju ke masjid dengan niat semata-mata hendak solat, maka setiap langkahnya mendapat pahala dan menghapuskan satu dosa.”(riwayat al-Bukhari)

Bersih dan Wangi

Yang ni pun hak tubuh kita juga. Untuk mendapat belaian daripada kita. Hak untuk sentiasa bersih dan menyenangkan orang sekeliling kita. Namun tidaklah secara berlebihan. Tak salah sekali sekala manjakan diri dengan mandian aroma terapi, mandi susu dan sebagainya untuk mengembalikan kesegaran  tubuh, kerana tubuh ini juga punya hak. Hak untuk dijaga sebaik mungkin oleh pemiliknya, iaitu kita. Apa salahnya sekali-sekala meluangkan masa untuk ke spa mendapatkan rawatan-rawatan yang baik untuk kebersihan dan kesegaran tubuh.

milk

Jaga kebersihan tubuh, supaya kita sendiri berasa selesa dengannya. Dan yang paling utama, sebab tubuh inilah asset berharga yang kita ada untuk dibawa ke hulu ke hilir dalam misi menyampaikan dakwah Islam ke seluruh umat manusia. Berasa selesalah dengan diri dan tubuh anda, maka insan lain juga akan berasa selesa dengan anda.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah itu baik dan suka akan kebaikan, bersih dan suka akan kebersihan, mulia dan suka akan kemuliaan…”.(riwayat al-Tarmizi)

Tubuh ini satu amanah

Maka, sebagai penutup ingin saya ingatkan diri saya dan anda semua sekali lagi, peliharalah tubuh kita sebaik-baiknya kerana tubuh ini adalah amanah daripada Allah SWT. Harta pinjaman yang akan diambil, bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan. Maka menjadi kewajipan kita untuk menjaga kesihatan, keselamatan, dan kebersihannya dengan baik supaya hati menjadi lebih tenang saat berdepan dengannya nanti.

Kenduri kendara di Klang Gate

Wednesday, June 17th, 2009

Aku sampai di perkarangan rumah bersama adik bongsu. “Betul ke ni rumahnya?” Tanyaku pada adikku yang menunggang motosikal Nouvo di sebelahku. “Jap, aku call Mak” ujar adikku. Tunggulah kami berdua di depan rumah yang tersiap 4 buah khemah betul-betul di depan rumah.

“Jom parking kat tepi jalan ni” ujar adikku. Aku menurut tanpa sebarang bantahan. Kami berjalan menuju ke belakang rumah tanpa rasa segan silu. ” Hai, baru sampai” Ujar makcikku sambil sedang memotong umbut kelapa. Aku sekadar tersenyum simpul. Aku tak pernah melihat orang umbut kelapa sebelum ini. “Buat apa dari tadi makcik?” tanyaku. “Ni ha, tengah potong umbut kelapa kecil-kecil, boleh masak acar” jawab makcikku. Suasana di belakang rumah meriah dengan saudara-saudara sebelah pengantin perempuan sedang memotong bawang, kentang dan beberapa bahan masakan yang lain.

Memandangkan kekurangan orang untuk memotong umbut kelapa. Aku pun turut serta memotong sambil sekali sekala di ajar oleh makcikku. Kami bersama-sama belajar memotong sambil berdiri menghadap meja papan kayu itu.

Majlis pernikahan bakal bermula dalam pukul 2 ptg selepas waktu Zohor. Aku berhenti berehat dengan adikku disebuah rumah dibelakang rumah pengantin perempuan. Khabarnya rumah ini dikosongkan untuk penginapan keluarga belah pengantin lelaki. Selepas berbaring dan melelapkan mata untuk qailullah, aku bersama adikku di ajak untuk menunaikan solat Zohor oleh ayah kepada pengantin perempuan. Kami mengambil wuduk di sinki walaupnun ada bilik air. Bilik air digunakan orang lain. Kekok juga bila terpaksa basuh kaki. Bukan apa, kaki terpaksa diangkat masuk ke dalam sinki. Tetapi pakcik menyuruh berbuat demikian, jadi tidak mengapalah.

Sejurus selepas solat dan berdoa. Pakcik bertanya “Siapa nama?”. Aku menjawab “Abdul Halim” . Ketika itu aku duduk bersila menghadap pakcik itu. Sambil menggerak-gerakkan batang jarinya seperti orang mengira, mulutnya turut terkumat-kamit mengira. “Kau ni sederhana orangnya, setia pada yang satu dan kalau marah pada seseorang sukar untuk memaafkan” kata pakcik. “Huih, kenapa tepat pula jangkaan pakcik ni” fikirku dalam minda. “Kau” tanya pakcik itu sambil memandang tepat kepada muka adikku. “Khairul” jawab adikku. Seperti tadi pakcik itu menggerak-gerakkan batang jarinya seperti lagak orang yang mengira menggunakan ilmu hisab. “Kau ni ramai orang perempuan minat kat kau tapi kau je buat tak tahu” kata pakcik tu. Tersengih-sengih je adik aku tu. “Nama awek siapa?” tanya pakcik. “Takdelah pakcik, mana ada awek” balas adikku. “Kawan takde?” tanya pakcik. “Kalau kawan adalah pakcik, Lidiawati” jawab adikku sambil muka tersipu-sipu malu, sekejap memandang lantai, sekejap memandang muka pakcik. “Kawan kau ni jenis agresif, selalu telefon kau kan?” tanya pakcik. “Takdelah”. Jawab adikku, mukanya semakin merah sambil tersengih-sengih menampakkan sebahagian giginya.

Selepas beberapa ketika aku menunggu pernikahan yang akan berlangsung tak lama lagi. Rombongan lelaki sampai pukul 2.15 petang. Selepas meletakkan kereta rombongan lelaki terus menuju ke rumah dalam keadaan ala-ala berbaris perarakan tanpa ditemani paluan kompang. Kelihatan kedua-dua keluarga kedua-dua belha pihak pengantin lelaki dan perempuan berkumpul memenuhi ruang tamu. Pengantin lelaki berpakaian serba putih, bersongkok dan bersampin duduk di atas bantal petak menghadap tok kadi dan pembantunya. Tok Kadi juga berpakaian serba putih. Setelah semua wali telah ada, acara pernikahan dilangsungkan.

Bengkel Penulisan (Kesimpulan)

Sunday, June 7th, 2009

Berdasarkan kesimpulan yang boleh saya buat, untuk bengkel penulisan ini memberi pengalaman baru buat saya dalam aktiviti pergaulan seharian. Yelah, mana tidaknya kalau sebelum ini berbengkel bertemu dengan peserta-peserta yang umurnya hanya sebaya. Kini fikiran saya turut terbuka untuk dunia luar yang lebih yang penuh ranjau dan duri ini. Mana tidaknya sekarangkan dunia akhir zaman, di mana Islam itu menjadi asing. Dalam keluarga saya sendiri pun solat berjemaah di masjid menjadi sesuatu yang pelik. Inikan pula masyarakat di luar sana yang tidak mempunyai kefahaman asas-asas Islam. Bukanlah maksud saya yang saya ini lebih pandai dari mereka, tidak sama sekali. Cuma kesal pengamalan agama ini menjadi adat dan ikut-ikutan semata-mata. Eh, terbabas pula saya menulis. Sedangkan nak tulis pasal kesimpulan.

Baik, kesimpulan kedua. Penulisan merupakan salah satu cara yang terbaik untuk meluahkan perasaan dan suasana hidup yang dialami oleh si penulis tidak kiralah siapa dia yang sebenarnya. Lebih-lebih lagi seorang yang pendiam macam saya ni. Hmm, mana taknya orang pendiam memang kurang menjadi menjadi perhatian dan kurang menonjol. Yang pastinya orang pendiam mempunyai deria penglihatan dan pendengaran yang lebih tajam dek kerana  kurang berbicara.

Kesimpulan terakhir. Penulisan boleh menjadi sumbangan peribadi kepada orang ramai. Manakan tidak, jika seseorang itu duduk di bandar dan menceritakan pengalaman kisah hidupnya di bandar. Orang yang membaca pengalamannya dikampung mungkin tidak tahu jika dia tidak menulis. Tidak kisah samada dia membaca melalui blog atau buku. Sekurang-kurangnya orang lain boleh mandapat gambaran kisah kehidupan orang bandar.

Sebagai penutup, doakan saya rajin menulis insyaallah. Motivasi menulis macam iman juga sekejap turun, sekejap naik.

Dosa menyebabkan kefakiran

Friday, May 8th, 2009

Dipetik dari majalah Solusi no. 3   

         Dalam kuliah-kuliah pengajian, guru-guru kita misalnya pernah mengingatkan, bahawa ada dosa yang menyebabkan kefakiran dalam kehidupan. Dosa zina misalnya, menyebabkan si pelakunya hidup dalam kefakiran.

         Benarkah begitu? Mungkin ada yang memprotes, ah, si polan memang terkenal malah berbangga dengan melakukan zina tetapi kenapa hidupnya masih kaya raya? Hartanya berjuta, vila dan bungalownya tidak terkira.

        Jangan terkeliru dengan istilah ‘fakir’ - ia bukan bermakna tidak berharta atau tidak berduit sahaja, tetapi fakir hakiki ia mereka yang sentiasa merasa tidak cukup dengan wang dan harta yang ada. Walaupun, harta berjuta, tetapi masih merasa papa. Hidup sentiasa diburu waktu, dalam fikiran hanya ada ringgit dan dolar.

        Renungilah betapa seksanya hidup si kaya yang “papa” ini. Sibuk mencari kekayaan hingga tidak sempat menikmatinya. Sibuknya tidak berkesudahan, Letihnya, stres dan tekanan berpanjangan. Tenang dan resahnya ditentukan indeks komposit di papan tanda saham.

        Punya harta membeli makanan lazat, tetapi tidak dapat merasainya kerana kencing manis, lemah jantung dan sebagainya. Bukan sahaja ia tidak dapat menikmati harta yang dimilikinya, malah anak isterinya pun tidak dapat “memilikinya” - berada di rumah dan di pangkuan keluarga hanya beberapa hari dalam sebulan, beberapa minggu dalam setahun.

        Konon, harta dicari untuk membahagiakan keluarga, tetapi dalam pencarian harta dia sudah pun “kehilangan” keluarganya.