Dipetik dari majalah Solusi no. 3
Dalam kuliah-kuliah pengajian, guru-guru kita misalnya pernah mengingatkan, bahawa ada dosa yang menyebabkan kefakiran dalam kehidupan. Dosa zina misalnya, menyebabkan si pelakunya hidup dalam kefakiran.
Benarkah begitu? Mungkin ada yang memprotes, ah, si polan memang terkenal malah berbangga dengan melakukan zina tetapi kenapa hidupnya masih kaya raya? Hartanya berjuta, vila dan bungalownya tidak terkira.
Jangan terkeliru dengan istilah ‘fakir’ - ia bukan bermakna tidak berharta atau tidak berduit sahaja, tetapi fakir hakiki ia mereka yang sentiasa merasa tidak cukup dengan wang dan harta yang ada. Walaupun, harta berjuta, tetapi masih merasa papa. Hidup sentiasa diburu waktu, dalam fikiran hanya ada ringgit dan dolar.
Renungilah betapa seksanya hidup si kaya yang “papa” ini. Sibuk mencari kekayaan hingga tidak sempat menikmatinya. Sibuknya tidak berkesudahan, Letihnya, stres dan tekanan berpanjangan. Tenang dan resahnya ditentukan indeks komposit di papan tanda saham.
Punya harta membeli makanan lazat, tetapi tidak dapat merasainya kerana kencing manis, lemah jantung dan sebagainya. Bukan sahaja ia tidak dapat menikmati harta yang dimilikinya, malah anak isterinya pun tidak dapat “memilikinya” - berada di rumah dan di pangkuan keluarga hanya beberapa hari dalam sebulan, beberapa minggu dalam setahun.
Konon, harta dicari untuk membahagiakan keluarga, tetapi dalam pencarian harta dia sudah pun “kehilangan” keluarganya.