3.56 p.m. - Berada di bawah stesen STAR Bandaraya, dihubungi akhi Zulhilmi melalui telefon. Dia mengajak ana pulang ke Shah Alam setelah kawasan Sogo makin tenang tanpa provokasi Polis dan himpunan manusia anti-ISA. Kelihatan beberapa orang anggota polis di tepi jalan sekadar berdiri memerhati manusia tanpa berbuat apa.
3.58 p.m. - Menuju ke arah tangga untuk ke stesen komuter Bank Negara dengan hasrat pulang ke Shah Alam. Tak semena-mena datang sebuah trak polis ‘Black Maria’ yang sangat laju dan berhenti secara mengejut di tepi jalan. Kira-kira 10 orang anggota polis berpakaian lengkap turun dengan deras. ‘Serbu!’ jerit salah seorang dari mereka. Bunyi derapan kasut berlari menuju ke arah ana bersama seorang sahabat, Syafiq. Secara spontan dan terkejut ana berpusing ke belakang dan lari menjauhi mereka. Syafiq melintasi ke seberang jalan meninggalkan ana jauh. Ana tersilap langkah kerana berlari ke arah sekumpulan polis yang berdiri di tepi jalan tadi.
4.00 p.m. - Dikepung hampir 10 orang anggota polis. Bahu dipegang oleh 2 orang anggota polis, seorang bahu kanan seorang lagi bahu kiri. Terasa sangat pantas berlaku. Ana bekerjasama dan tidak melawan, di bawa ke arah trak ‘Black Maria’. Sempat bertanya kepada salah seorang anggota polis tersebut. “Atas seksyen apa saya ditahan Encik?”. “Korang berhimpun secara haram” jawab dia ringkas. Dimasukkan ke dalam ‘Black Maria’, duduk di atas bangku. Tiba-tiba seorang sahabat aktivis KRJ Petaling Danial ditahan dan dimasukkan bersama.
4.05p.m - 4 orang lagi ditahan, Yusri, Fazalah, Ijal dan seorang yang ana tak tahu namanya. Keadaan amat panas badan berpeluh-peluh.
4.40pm - 5 orang lagi ditahan.
4.59pm - Seorang pakcik berumur 50-an ditahan. Kelihatan tenang dan perlahan-lahan melangkah masuk ke trak. Beberapa orang tak tahan mengomel “Apa yang dibuat dibiarkan kita di dalam ni, panas betul. Sudahlah tak solat Asar lagi ni”
5.00pm - Terfikir-fikir yang macam-macam dan bukan-bukan.Disoal siasat di dalam sebuah bilik dengan sebuah mentol di atas kepala dengan tangan diikat dibelakang. Keluarga dan jiran yang pasti akan memarahi dan menasihati ana dan pelbagai perkara yang terbayang. Namun dapat panggilan telefon dari akhi Khairul Fadhli, Ya Asrul dan Abg Baithori menenangkan ana. “Ingat, Allah bersama anta Halim. Banyak-banyak selawat. Jangan lupa zikir ya”. ” Tenang Halim, Allah pasti bersama dengan orang-orang yang sabar”. “Jangan takut ini semua dugaan dari Allah”. Bertalu-talu panggilan dan SMS masuk bertanyakan keadaan ana. Akhi Khairul Fadhli menerangkan kepada ana yang beliau sedang berusaha mendapatkan bantuan guaman untuk ana dan meminta ana agar update sebarang kejadian yang berlaku.
5.10pm - Diluar trak keadaan sangat bising, polis menjerit-jerit kepada himpunan manusia anti-ISA. Kelihatan trak merah FRU menyembur air dan menembak gas pemedih mata ke arah himpunan manusia berdekatan dengan Medan MARA.
5.20pm - 2 orang lagi ditahan, kedua-duanya dari Dungun, Terengganu.
5.32pm - Trak mula bergerak dengan seramai 14 orang di dalamnya termasuk ana. Di dalam perjalanan beberapa buah motosikal mengekori, salah sebuah daripada mereka mengangkat ke tangan langit sambil menggenggam jari-jarinya dan melaungkan takbir “Allahuakbar!, Allahuakbar!, Allahuakbar!”. Perasaan takut kami hilang. Kami menyambutnya dengan bertakbir juga. Bertambah-tambah semangat kami. Beberapa kumpulan kecil yang duduk ditepi-tepi jalan turut melambai-lambai ke arah kami. Kami turut melambai mereka kembali.
5.47 pm - Sampai ke PGA Cheras. Melintasi beberapa orang peguam berkot menunggu di luar pintu pagar. Sebaik sampai di suatu tempat. Trak berhenti dan kami dibiarkan di dalam trak. Beberapa kali laungan takbir terdengar di luar trak.
6.12 pm - Kami dibenarkan turun dari trak. Kira-kira 300 orang berada di kawasan lapang, kesemuanya bersila di atas lantai simen. 40 orang muslimah turut menjadi tahanan. Selebihnya muslim. Ada 2, 3 orang yang menjadi ketua melaungkan takbir. Mereka tak henti-henti bertakbir. Kami diminta berkumpul dan bersila di atas lantai. Kesemua diminta memberikan IC masing-masing.
6.30 pm - Kira-kira 30 orang muslimah dibebaskan dengan menaiki sebuah bas PDRM.
6.35 pm - Meja-meja dipenuhi dengan polis seperti membuka beberapa kaunter. Kami disoal siasat dengan perkara-perkara asas seperti nama, tempat tinggal, no telefon dan tujuan datang ke tempat demostrasi.
6.40 pm - Kami dibenarkan solat Asar di sebuah surau berhampiran.
7.20 pm - Masih menunggu. Secara beransur-ansur, kumpulan demi kumpulan diberi IC dan dibebaskan dengan menaiki trak. Beberapa SMS menerjah masuk telefon bimbit ana bertanya khabar dan update kawasan disana. Menerima panggilan Akhi Amirul bersama Abdullah Omar memberitahu mereka berada diluar menunggu ana dibebaskan.
7.30 pm - Makanan dan minuman diagih-agihkan anggota polis. Kami makan nasi berlaukkan ikan kembung goreng berkuahkan sup tawar dan minum air kosong yang dibungkus dalam plastik.
7.45 pm - Solat berjemaah di dalam surau. Selepas seorang solat imam di kalangan tahanan membacakan doa memohon pertolongan kepada Allah agar diberi bantuan kepada mujahidin-mujahidin di Malaysia, Iraq, Palestin dan sebagainya. Ana tersentuh dan mengambil semangat dari doa yang dibacakan.
8.00 pm - Masih menunggu. Secara beransur-ansur tahanan dibebaskan menjadi bilangan kami menjadi kurang dari 100 orang.
8.55 pm - Kami adalah kumpulan yang terakhir dibebaskan. Ana dan Danial mengambil keputusan tidak mahu menaiki trak dan berjalan kaki menuju luar pagar Kompleks PGA. Di luar ramai yang sudah menunggu dan melaungkan takbir dan ada yang berpeluk-pelukan sambil meluahkan perasaan syukur.
9.30 pm - Akhi AO, Amirul bersama Ummi Rose menjemput kami berdua dengan kereta Proton Saga baru AO. Alhamdullilah kami bebas dengan selamat tanpa sebarang ikat jamin.