Posts Tagged ‘Pengalaman’

Dari mata turun ke hati

Wednesday, April 7th, 2010

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” Surah An Nur:30, “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan auratnya, kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) … ” Surah An Nur:31.

Begitulah serba sedikit tentang firman Allah di dalam surah An Nur. Allah telah memerintahkan kepada kaum lelaki agar menjaga pandangan matanya agar terpelihara imannya. Bak kata pepatah ‘Dari mata turun ke hati’, kerana matalah permulaan kepada mendekati zina. Hanya dengan melihat wanita yang bukan muhrim, akan jatuh ke dalam hati lelaki perasaan yang membawa kepada naluri fitrahnya, yakni mahukan cinta. Cinta yang asalnya berputik menjadi suatu perasaan yang membawa kepada istilah yang amat common pada zaman sekarang yakni ‘couple’. Tidak lengkap rasanya hidup seseorang itu sekiranya tidak ber’couple’. Jalan ini bukanlah terbaik, tetapi itulah yang diyakini oleh majoriti pemuda pemudi zaman sekarang. Maka beruntung kepada mereka yang menjadi golongan yang sedikit pada zaman ini, golongan yang berhempas pulas mengawal (bukan menahan) perasaan kepada golongan bukan satu jantina dengannya. Kerana apa yang penulis katakan, cinta sebelum pernikahan banyak dihiasi dengan lakonan supaya mendapat perhatian pasangannya. Oleh itu, selepas perkahwinanlah akan terbongkar perangai sebenar diri dan pasangannya.

Justeru, bagi wanita pula. Mereka perlu ditambah nilai sedikit dengan menutup perhiasan yakni auratnya. Malangnya kebanyakan wanita sekarang hanya memakai tudung hanya kerana adat. Penulis begitu terkejut kerana adanya kewujudan video lucah yang menunjukkan perbuatan tak senonoh wanita yang bertudung dan berbaju kurung lengkap. Nauzubillah. Penulis hanya mampu berdoa supaya orang-orang seperti ini diberi petunjuk oleh Allah S.W.T agar kembali memahami agama ini. Kerana agama ini yang memerintahkan supaya para wanita memakai tudung. Bukan setakat tudung, tetapi mestilah melepasi paras dada. Bersyukur di hati ini kerana ada di kalangan sahabat-sahabat penulis bertudung bukan kerana adat tetapi kerana fahamnya mereka kepada ayat-ayat Allah ini. Alhamdulillah…

Hari yang selalu saya lupakan

Monday, December 14th, 2009

‘Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu, sungguh, guncangan hari kiamat itu adalah suatu (kejadian) yang sangat besar. (Ingatlah) pada hari ketika kamu melihatnya (guncangan itu), semua perempuan yang menyusui anaknya akan lalai terhadap anak yang disusuinya, dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya, dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu sangat keras’ Surah Al Hajj, ayat 1 dan 2.

Kadang-kadang saya terasa sangat sedap mengejar nikmat dunia ini, sedangkan akhirat itu yang abadi. Kadang-kadang saya selalu berfikir bagaimana nak mengecap nikmatnya wang dunia ini, sedangkan membawa orang memahami islam lebih baik dari dunia dan segala isinya. Itulah yang berlaku kepada diri saya selama 6 bulan selepas tamat belajar di IPT. Sangat terlupa ada hari yang sudah PASTI akan datang, namun fokus saya lari dan semakin lari. Namun dengan bantuan Allah, hati ini tersedar dan kembali meng’audit ‘ diri dan memberi sedaya-upaya dan apa yang boleh melalui blog ini. Oh! Terima kasih kepada yang sudi memberi komen dalam blog ini, anda dihargai dan ditulis ‘gaji’ anda oleh para malaikat, Insya Allah.

Teruskan men’gomen’

Konvensyen kedua dalam hidup saya

Thursday, July 30th, 2009

Rasanya hampir 6 tahun saya meninggalkan konvensyen di MRSM Kuantan dahulu. Kini baru lepas satu lagi konvensyen. Konvensyen ni tiada kaitan dengan akademik. Ada ke konvensyen yang tiada kaitan dengan akademik? Ada ke?

Ada…

Konvensyen Graduan Nasional 09 anjuran JIM Pusat.

“Lim, jom la join KGN anta tu dah tua lah” usik Asrul

“Tak bolehlah, muka anakan macam budak sekolah menengah. Nak pergi usrah belia pun naqib tak bagi. Sah-sah ana ni belum cukup umur lagi” kata saya berseloroh.

“Alah, sudahlah. Pergilah program UiTM Puncak Alam tu. Jadilah student balik” Provok Asrul

“Ana tak kisah!!!Hahaha” kata saya sambil tergelak.

Namun, sebaik mana pun manusia merancang. Perancangan Allah jualah yang terbaik.

Sebaik balik kerja dan sampai di rumah. Saya membuka pintu dan memberi salam.

“Waalaikumsalam” Jawab Asrul.

Sambil melabuh punggung ke atas lantai dan bersila di bawah kipas.

Asrul membuka bicara “Eh, anta tahu tak yang program UiTM Puncak Alam dah cancel”

“Ah tak cayalah, ada je nak dengki dengan ana” gurau saya.

“Hak ela, tak caya cuba tanya Pengarah program” kata Asrul.

Terus saja naik ke tingkat atas berlalu meninggalkan Asrul. Saya menelefon dan menghantar SMS kepada pengarah dan timbalan pengarah program. Tapi kedua-keduanya tak menjawab.

10 minit kemudian pengarah program balik.

” Abang Zul, betul ke Program Puncak Alam cancel?” Tanya saya.

“Alamak lupa bagitahu, soryyyy banyak-banyak Lim” kata Abang Zul sambil menepuk dahi.

“Aiseh, camne ni nampaknya kena tukar plan pergi KGN pulalah ni” bisik hati saya.

Keesokkan harinya bermulalah program ‘Konvensyen’ kedua dalam hidup saya. Terus saja masuk ke Masjid Muadz Bin Jabal keseorangan dengan menunggang motosikal. Amat ramai juga yang join, dan yang pasti akhawat lebih ramai. ‘Standard’lah tu.

Perkongsian yang menarik minat saya adalah pada malam harinya. Kisah cerita keluarga duat. Kejutan pertama buat saya, salah seorang panel yang saya sangkakan selama ini namanya Abu Dzar tetapi nama sebenarnya ialah Ahmad Yusri Azme.  Kemudian tidak dapat digambarkan betapa sibuknya ibu bapa yang bergelar duat apabila anak-anak mereka mengadu tidak seperti hidup keluarge yang lain. Bila hujung minggu saja, pasti ibu bapa mereka tiada di rumah. Sibuk dengan benda lain. Begitulah secebis dugaan yang diceritakan oleh Ir Zairulshahfuddin. Abu Dzar pula menceritakan bagaimana rakan-rakan tempat kerjanya seringkali berkata “Ah kau ni, tiap-tiap minggu program,program,program, jomlah join kitorang pergi memancing”. Manakala Ummi Roses menceritakan bagaimana beliau telah dilamar oleh orang kebanyakan. Bagaimanapun yang uniknya beliau tidak pernah melalui proses Baitul Muslim tetapi secara direct dari seorang lelaki. Yang amat menarik perhatian telinga dan hati saya adalah bagaimana beliau dan suaminya dulu bertaaruf di dalam sebuah perpustakaan di dalam ITM(sekarang UiTM). Soalan yang ditanya Ummi kepada bakal suaminya ketika itu ” Boleh ke keluarga awak terima saya dengan tudung labuh macam ni?” dan “Awak tak kisah ke nanti saya keluar rumah sebab nak bawa dan ikut usrah?”. Amat telus soalannya, setelus hati mereka yang bersungguh untuk mengikat tali pernikahan dengan cara yang sah.

Harapan saya agar saya dapat amalkan apa yang telah saya pelajari di dalam konvensyen ini. Insya Allah.

Aku, usrah dan…

Monday, July 20th, 2009

Mengenang kembali aku dan usrah, sudah hampir 2 tahun aku menjadi ahli usrah. Seingat aku sejak Julai 2007. Apa tujuan aku berusrah. Of course niat aku adalah untuk mempelajari agama yang aku anuti dengan lebih dekat. Mula dengan mengenali siapa tuhanku sehingga ke tahap yang paling mencabar yakni dakwah.

Gambar Hiasan

Aku tersentuh dengan kata-kata naqib aku yang mengatakan hasil tarbiah yakni mengikut usrah, menjadikan seseorang itu membawa seseorang itu ke tahap yang lebih baik. Aku merasa satu perkara yang kurang yang ada pada diri aku. Kerana apa? Kerana aku masih tidak lepas ujian hafazan yang diberikan oleh naqib kepadaku. Sudah aku usahakan semester dahulu, hanya berjaya 1 ayat dari 7 ayat. Semester ini pula 2 ayat dari 7 ayat. Aku tak berpuas hati. Kenapa? Kerana aku untuk minggu ini saja sudah terlepas solat Subuh berjemaah selama 3 hari. Apa maknanya? Maknanya iman aku sudah turun selain kerana tidur lambat dari biasa.

Seperkara lagi, aku kurang menonjol dari segi kepimpinan kerana sifat pendiam yang aku miliki. Oh tidak! kenapa ya? Mungkin belum mempunyai jiwa yang besar seperti sahabat-sahabat yang lain. Aku malu Ya Allah! Mungkin sikap ini masih tak berubah kerana terlalu memikirkan dunia yang sempit ini. “Apakah ubat bagi kelemahanku ini?” Bisik hatiku.

Kawan-kawan yang terbaca mungkin memberi komen membina jika sudi :D

Baiklah kelebihanku, sebelum berhenti mengetuk papan kekunci(keyboard ini). Aku seorang yang rajin dan mampu memikul tugas jika diberi amanah. Pasti buat yang terbaik walaupun sesusah mana sekalipun. Dan yang takde pada orang lain, amat minat berniaga. Bukan senang weh! Orang lain mindset mesti nak bekerja. Har har!

Bengkel Penulisan (Kesimpulan)

Sunday, June 7th, 2009

Berdasarkan kesimpulan yang boleh saya buat, untuk bengkel penulisan ini memberi pengalaman baru buat saya dalam aktiviti pergaulan seharian. Yelah, mana tidaknya kalau sebelum ini berbengkel bertemu dengan peserta-peserta yang umurnya hanya sebaya. Kini fikiran saya turut terbuka untuk dunia luar yang lebih yang penuh ranjau dan duri ini. Mana tidaknya sekarangkan dunia akhir zaman, di mana Islam itu menjadi asing. Dalam keluarga saya sendiri pun solat berjemaah di masjid menjadi sesuatu yang pelik. Inikan pula masyarakat di luar sana yang tidak mempunyai kefahaman asas-asas Islam. Bukanlah maksud saya yang saya ini lebih pandai dari mereka, tidak sama sekali. Cuma kesal pengamalan agama ini menjadi adat dan ikut-ikutan semata-mata. Eh, terbabas pula saya menulis. Sedangkan nak tulis pasal kesimpulan.

Baik, kesimpulan kedua. Penulisan merupakan salah satu cara yang terbaik untuk meluahkan perasaan dan suasana hidup yang dialami oleh si penulis tidak kiralah siapa dia yang sebenarnya. Lebih-lebih lagi seorang yang pendiam macam saya ni. Hmm, mana taknya orang pendiam memang kurang menjadi menjadi perhatian dan kurang menonjol. Yang pastinya orang pendiam mempunyai deria penglihatan dan pendengaran yang lebih tajam dek kerana  kurang berbicara.

Kesimpulan terakhir. Penulisan boleh menjadi sumbangan peribadi kepada orang ramai. Manakan tidak, jika seseorang itu duduk di bandar dan menceritakan pengalaman kisah hidupnya di bandar. Orang yang membaca pengalamannya dikampung mungkin tidak tahu jika dia tidak menulis. Tidak kisah samada dia membaca melalui blog atau buku. Sekurang-kurangnya orang lain boleh mandapat gambaran kisah kehidupan orang bandar.

Sebagai penutup, doakan saya rajin menulis insyaallah. Motivasi menulis macam iman juga sekejap turun, sekejap naik.