Posts Tagged ‘Tazkirah’

Dari mata turun ke hati

Wednesday, April 7th, 2010

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” Surah An Nur:30, “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan auratnya, kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) … ” Surah An Nur:31.

Begitulah serba sedikit tentang firman Allah di dalam surah An Nur. Allah telah memerintahkan kepada kaum lelaki agar menjaga pandangan matanya agar terpelihara imannya. Bak kata pepatah ‘Dari mata turun ke hati’, kerana matalah permulaan kepada mendekati zina. Hanya dengan melihat wanita yang bukan muhrim, akan jatuh ke dalam hati lelaki perasaan yang membawa kepada naluri fitrahnya, yakni mahukan cinta. Cinta yang asalnya berputik menjadi suatu perasaan yang membawa kepada istilah yang amat common pada zaman sekarang yakni ‘couple’. Tidak lengkap rasanya hidup seseorang itu sekiranya tidak ber’couple’. Jalan ini bukanlah terbaik, tetapi itulah yang diyakini oleh majoriti pemuda pemudi zaman sekarang. Maka beruntung kepada mereka yang menjadi golongan yang sedikit pada zaman ini, golongan yang berhempas pulas mengawal (bukan menahan) perasaan kepada golongan bukan satu jantina dengannya. Kerana apa yang penulis katakan, cinta sebelum pernikahan banyak dihiasi dengan lakonan supaya mendapat perhatian pasangannya. Oleh itu, selepas perkahwinanlah akan terbongkar perangai sebenar diri dan pasangannya.

Justeru, bagi wanita pula. Mereka perlu ditambah nilai sedikit dengan menutup perhiasan yakni auratnya. Malangnya kebanyakan wanita sekarang hanya memakai tudung hanya kerana adat. Penulis begitu terkejut kerana adanya kewujudan video lucah yang menunjukkan perbuatan tak senonoh wanita yang bertudung dan berbaju kurung lengkap. Nauzubillah. Penulis hanya mampu berdoa supaya orang-orang seperti ini diberi petunjuk oleh Allah S.W.T agar kembali memahami agama ini. Kerana agama ini yang memerintahkan supaya para wanita memakai tudung. Bukan setakat tudung, tetapi mestilah melepasi paras dada. Bersyukur di hati ini kerana ada di kalangan sahabat-sahabat penulis bertudung bukan kerana adat tetapi kerana fahamnya mereka kepada ayat-ayat Allah ini. Alhamdulillah…

Perniagaan yang tak pernah rugi

Tuesday, January 19th, 2010

Pernah tidak anda mengharapkan untuk memulakan perniagaan yang pasti tidak rugi? Bagaimana caranya? Dan yang paling penting betulkah ada perniagaan yang tidak pernah rugi?

Mustahil, mustahil kerana setiap perniagaan pasti berhadapan dengan risiko kerugian tidak kira sama ada perniagaan tersebut perniagaan kecil-kecilan atau perniagaaan yang besar modalnya. Bila nak mula berniaga pasti ada pengiraan risiko, adakah kemungkinan ada kerugian yang akan menjengah, atau keuntungan yang bakal diraih? Sungguh pasti kerugian menjadi suatu yang paling ditakuti oleh sesiapa saja yang bergelar usahawan, tidak kiralah dia itu usahawan internet ke, usahawan MLM ke, usahawan runcit ke, usahawan herba ke, kerugian adalah suatu yang bukan diharapkan dan dinantikan.

Dalam banyak-banyak perniagaan ada satu perniagaan yang tidak akan pernah rugi. Ada ke? Ya! Sudah tentu ada sama ada kita perasan atau tidak. Cuba renungi ayat-ayat dibawah ini

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah (Al-Qur’an) dan melaksanakan solat dan menginfakkan rezeki yang Kami anugerahkan kepada dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang TIDAK  AKAN RUGI” Al Fathir, 35:29

Sudahlah begitu urusniaga kita dengan Allah bukanlah susah sangat. Tapi pada zaman sekarang ketika ramai orang yang memilih untuk menjadi hamba kepada nafsu, hamba kepada wang, hamba kepada wanita, segala suruhan Allah yang simple dan hanya mengambil 10minit satu waktu solat tidak direbut. Sudah-sudahlah, berapa lama kita hidup di dunia ini 50 tahun? 100 tahun? 150 tahun? Penulis pun sama sahaja tidak menuruti perintah Allah dalam surah berikut

Sungguh beruntung orang-orang beriman.Yaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya Al Mukminun 23:1-2

Sungguh UNTUNG orang yang khusyuk dalam solatnya. Tetapi sesetengah orang ter’jumpa’ pen yang hilang di dalam solatnya, sesetengah orang pula terawang-awang mengingatkan peristiwa-peristiwa yang ‘happy gila’ bak kata remaja sekarang. Harapan tulisan ini dapat mengingatkan penulis dan pembaca sekelian. Penulis mendoakan agar semua pembaca dan penulis mencapai khusyuk dalam solat. Amin.

Petunjuk Sepanjang Jalan

Monday, October 26th, 2009

Ingin sekali ana memetik tulisan As Syahid Syed Qutub di dalam buku tulisannya Petunjuk Sepanjang Jalan. Ini adalah berkisarkan tentang kehidupan zaman jahilliyah dahulu dimana kaum wanita menjadi alat pemuas nafsu.

Jenis-jenis perkahwinan di zaman Jahiliyyah ada empat

Pertama: Perkahwinan yang berlaku di zaman kita, iaitu seorang lelaki meminang seorang anak perempuan orang lain yang halal dinikahinya. Maka berlangsunglah perkahwinan.

Kedua: Si suami berkata kepada isterinya, bila si isteri itu suci dari haidnya “Pergilah engkau kepada si anu dan ambillah keturunannya”, lalu si suami itu tidak mensetubuhi isterinya itu sehingga didapatinya bahawa si isteri itu telah mengandung hasil perhubungan jenis dengan orang yang disuruh ambil keturunannya itu. Dan bila nyata bahawa si isteri telah benar-benar mengandung barulah si suami itu mensetubuhi isterinya itu semula. Perkahwinan jenis ini dinamakan ‘kahwin mencari anak pintar’

Ketiga: Sekumpulan orang lelaki kira-kira tidak sampai sepuluh orang berpakat menyetubuhi perempuan tertentu. Mereka melakukannya mengikut giliran masing-masing. Selepas mengandung dan melahirkan anak, perempuan itu memanggil semua lelaki yang menyetubuhinya tanpa seorang pun tidak boleh terlepas. Perempuan itu berkata “Wahai orang lelaki sekelian, aku telah melahirkan anak kamu. Ini anak kamu wahai si polan, berilah nama kepadanya sesuka hatimu”, lalu diserahkan anaknya kepada orang yang dipilihnya, orang yang dipilih tidak boleh menolaknya.

Keempat: Orang ramai berkumpul untuk menyetubuhi seorang perempuan bergilir-gilir(tanpa sebarang pakatan) dan perempuan tidak boleh menolak sesiapa yang menyetubuhinya. Perempuan itu akan meletakkan kain putih di depan pintu rumahnya kalau ada sesiapa sedang menyetubuhinya. Bila perempuan lacur itu mengandung dan melahirkan anak, kumpulan lelaki tadi berkumpul dan membuat pakatan serta persetujuan tentang siapakah di antara mereka yang patut menjadi bapa kepada anak itu, dan orang yang dipilih itu tidak boleh menolak keputusan ramai itu dan mesti menerima tanggungjawab sebagai ayah kepada si anak itu (Hadis riwayat Bukhari di dalam Bab Al Nikah)

Begitu rosaknya masyarakat terdahulu yang belum menerima sinar Islam. Keturunan boleh dibawa main-main. Tidakkah kita merasa tidak senang jika anak yang lahir itu bukan dari zuriat kita sendiri. Adakah kita sanggup menerimanya? Juga betapa murahnya maruah kaum perempuan pada zaman itu, lebih teruk dari binatang ternakan. Sedang si jantan akan bergaduh dengan jantan yang lain untuk merebut pasangan. Ini pula MANUSIA yang sanggup berkongsi perempuan yang sama. Astargfirullahal Azim, semoga dijauhkan daku dari kejahilan sebegini.

Ingat dunia, lupa maut

Tuesday, September 29th, 2009

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari Kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya” Al-Baqarah:185

Ayat ini menerangkan serba sedikit tentang hari kiamat yang PASTI akan berlaku. Namun masih ramai orang Islam di zaman ini seolah-olah lupa atau merasakan hari kiamat itu tiada, sama sajalah yang menulis ni. Oleh itu, apa yang dicoretkan ayat ini adalah siapa-siapa yang dijauhkan dari neraka akan mendapat syurga. Moga-moga kita dapat semua mendapat balasan syurga setelah melalui Universiti Ramadhan. Ana sangat-sangat berharap amalan kita diterima oleh Allah dan walaupun diri ini tidak banyak meneruskan amalan-amalan Ramadhan pada  bulan Syawal. Dan ingatlah diri ini dah rakan-rakan semua yang dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya. Diri ini juga banyak memikirkan dunia lebih dari akhirat baru-baru ini, kenapa ya?

Mungkin perlu mengambil sebatang mancis lalu menyalakannya, kemudian membakar tapak tangan ini. Yalah, lupa akhirat, berat ke dunia…

10 malam terakhir

Tuesday, September 15th, 2009

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Qu’an) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh(Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.

Al-Qadr (1-5)

Simple saja untuk menerangkan ganjaran Lailatul Qadar ini. Bayangkan begini. Ana bekerja dengan gaji RM500 sebulan. Pada 10 hari di hujung bulan, jika bos mengunjungi ke pejabat dan ana sedang bekerja. Maka secara automatik ana kan mendapat bonus sebanyak RM500 000. Gandaan yang sangat gila. Mana ada majikan yang macam ni kecuali “majikan” yang menciptakan kita sahaja. Jadi apa tunggu lagi, jom kita cari Lailatul Qadar.

Brader, apa kau tulis ni?

Thursday, September 10th, 2009

Maaf andai tajuk di atas tiada kena mengena dengan tulisan di bawah ni.

“Wahai orang-orang beriman! Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim” Al Baqarah : 102

Untuk apa kita berpuasa. Bagi ana adalah melahirkan takwa. Sia-sia sahaja Ramadhan yang ana lalui ini jika tidak menghasilkan takwa apabila habis tempohnya kelak. Itupun kalau masih diberi nyawa dan masa oleh-Nya. Namun ana benar-benar merasa satu kekurangan dalam diri. Iaitu kurangnya menghadiri majlis-majlis ilmu kalau nak dibandingkan dengan Ramadhan tahun lepas. Ya, itulah kekurangan tahun ini. Tapi hati masih mencari-cari kalau-kalau ada ruang masa untuk dipenuhi dengan majlis ilmu. Kalau tidak hati ini akan kering walaupun berada dalam bulan yang mulia ini.

Bonus Malam al-Qadar

Ana berazam akan mencari malam al-Qadar ini sampai dapat. Takut juga seperti tahun lepas, hanya sempat solat sunat witir sahaja.

Bonus! Bonus!

Wednesday, August 26th, 2009

Hadis Qudsi yang menyebut : “Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat (di siang hari) hanya keranaKu” (Riwayat Al Bukhari dan Muslim).

Tak pernah lagi mendengar orang yang dibayar gaji 10 kali ganda dari nilai gaji pokoknya. Saya harap pembaca dan saya dapat mengambil peluang ini untuk menambah amal dan pahala berganda-ganda(baca: currency akhirat).