Posts Tagged ‘Usrah’

Apsal nak ikut usrah ni?

Thursday, January 28th, 2010

Assalamualaikum,

Semoga semua pembaca blog ini berada dalam kesihatan yang sejahtera dan keceriaan yang luar biasa. Amin

Sukar diungkapkan mengapa saya mengikuti usrah dari tahun 2005 hinggalah sekarang. Mengapa dan kenapa nak kena ikut usrah ni?Ada orang berkata kenapa nak ikut usrah,  kan banyak ceramah agama kat luar sana. Content dan kandungan ceramah agama kan lebih kurang sama je dengan usrah. Ya benar, kandungan ceramah agama sama saja dengan usrah dan kadang-kadang yang memberi ceramah itu lebih pakar dalam bidang yang disampaikan.

Tahukah anda apakah kelebihan berusrah?

1. Usrah membina tautan hati, naqib dan mad’u-mad’unya sentiasa bertanya khabar setiap kali berjumpa, kadang-kadang masalah peribadi dan pengalaman diri dikongsi bersama dalam usrah. Ada ke kita berkongsi masalah peribadi dalam ceramah-ceramah?

2. Membina kemahiran interpersonal skill. Naqib berupaya belajar untuk berkenalan dan memahami setiap mad’u-mad’unya, yang ini pendiam, yang ini peramah, yang ini sensitif dan yang ini sangat terbuka. Setiap orang akan dilayan sesuai dengan personaliti masing-masing. Ada tak penceramah mengenali nama dan personaliti setiap orang yang menghadiri ceramahnya?

3. Membina keyakinan diri bercakap. Setiap orang yang berada di dalam usrah itu mesti bercakap apabila diperlukan, tidak kira siapa pun dia. Dia mesti berani mengeluarkan pendapat dan pandangannya di dalam isu yang dibincangkan dalam usrah. Sekurang-kurangnya melatih membina keyakinan diri sebelum memberi ucapan dari kelompok yang lebih besar.

4. Melatih sikap ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan masing-masing. Tak semestinya naqib yang menyampaikan tajuk tersebut tahu semuanya tentang tajuk yang disampaikan. Ahli-ahli usrah lain juga boleh menambah apa yang kurang dan apa yang tidak lagi disentuh.

Namun, bukan sama sekali tidak perlu hadir ceramah. Saya tidak mengatakan ceramah tidak perlu, malah baik untuk hadir untuk menambah ilmu dengan orang yang ternyata lebih tinggi ilmunya. Bergantung pada niat masing-masing kenapa hadir berusrah, kerana amal tanpa niat tidak melahirkan pahala seperti dinyatakan dalam buku hadith 40, hadith 1

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar Ibn Khattab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Kesimpulan, apa pun yang kita buat niatkanlah kerana Allah. Insya allah diterima Allah.

Usrah, perlu menyentuh hati

Saturday, May 9th, 2009

Di petik dari www.studiomuslim.com

Usrah adalah sekumpulan manusia berkumpul dan berbincang dengan pengisian tertentu setiap sesi bagi memantapkan kepercayaan kepada Allah.

Assalamualaikum.

Saya Nurul(bukan nama sebenar), saya nak tanya pendapat awak. Usrah yang kami buat kurang bergerak disebabkan tidak mendapat sambutan. Mungkin salah satu faktor ialah sebilangan dari kami sekolah biasa-biasa sahaja, bukan dari sekolah agama. Jadi pengetahuan agama kami agak cetek dan mungkin pengisian kami agak lemah. Jadi, saya nak tanya pendapat awak apa kami patut lakukan nak mantapkan usrah kami. Bagaimana kami nak ajak junior sertai usrah?

Teringat saya sendiri pernah bertanya kepada diri sendiri soalan sebegini. Walaupun saya datang dari sekolah agama, tetapi semasa sekolah dahulu tidak pernah saya ke hadapan menyampaikan tazkirah, selalu ponteng-ponteng program ceramah dan kalau ada program bersifat keagamaan sayalah antara mereka yang mencari alasan untuk tidak hadir.

Jadi, mudah sahaja yang tidak semua pelajar sekolah agama adalah mereka yang pandai agama. Tidak semua pelajar sekolah agama minat hendak belajar agama. Sepatutnya persoalan saya tidak dapat berdakwah kerana saya bukan dari sekolah agama tidak muncul.

Mungkin juga apabila sudah ada cop ‘Bekas Pelajar Sekolah Agama’ pada diri lebih mudah untuk berdakwah. Tidaklah dapat dinafikan kenyataan sebegitu, cuma seorang sahabat seusrah saya yang bukan dari sekolah agama boleh berdakwah dengan begitu mudah sekali.

Soalnya adalah bagaimana kita mempromosikan dakwah tersebut.

Memenuhi keperluan psikologi

Macam jurujual, salah cara promosi siapa yang hendak beli produknya. Tersalah cakap sedikit, lari orang sebelum dia menamatkan skrip menjualnya. Begitu juga dengan kita yang ingin mempromosikan usrah atau mengajak orang lain sama-sama berusrah.

Apabila kita jumpa pelanggan, pertama sekali yang perlu dibuat adalah kita memenuhi keperluan psikologi pelanggan tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan keperluan psikologi?

Secara mudahnya keperluan psikologi adalah keperluan emosi seseorang itu. Kalau dia rasa sedih, kita cuba gembirakan. Kalau dia ingin disanjung, kita sanjung-sanjungkan. Kalau dia rasa kuasanya perlu dihormati, kita mestilah tunjukkan rasa hormat. Ini adalah perkara asas dalam urusan berurus niaga.

Contohnya katakan anda ingin berjumpa dengan seorang yang ternama. Orang ini boleh dikatakan paling dihormati rakyat macam Tuan Guru Nik Aziz atau mungkin pakar kewangan Azizi Ali. Tiba-tiba dia memanggil anda dengan panggilan Tuan.

Saya bagi satu situasi. Ada seorang lelaki bernama Ahmad ingin berjumpa seorang Pengarah Syarikat yang maju. Pada awalnya sebelum berjumpa, Ahmad berkata dalam hati, “Ah, dia ini orang ternama. Manalah nak tegur pelajar universiti macam aku.”

Sebaik sahaja disilakan oleh Setiausaha syarikat ke dalam bilik Pengarah, Pengarah tersebut yang terlebih dahulu menanyakan khabar.

“Ya, tuan Ahmad. Apa khabar tuan hari ini?”

Apa agak-agaknya perasaan Ahmad? Mestilah dalam hati rasa serba salah. Patutkah orang ternama ini memanggil aku tuan. Tetapi dalam pada masa yang sama, secara tidak langsung pandangan Ahmad terhadap orang ternama tersebut tentulah berubah – daripada persepsi negatif pada awalnya kepada persepsi positif.

Apabila kita berjumpa dengan anak usrah begitu juga yang perlu kita buat. Isi keperluan psikologinya dahulu. Bila emosinya sudah tenteram, barulah seronok hendak menerima pengisian.

Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Begitu juga dengan kisah Nabi Muhammad yang dicaci dan dihina oleh seorang perempuan Yahudi setiap kali beliau lalu di hadapan rumah perempuan tersebut. Mungkin emosi perempuan tersebut terganggu dengan kedatangan Islam lantas setiap kali Nabi Muhammad lalu di hadapan rumahnya dia baling dengan najis.

Suatu hari perempuan tersebut jatuh sakit dan apa yang Nabi Muhammad buat, beliau melawat perempuan tersebut dan membantu meringankan beban perempuan tersebut. Terus terubat emosi perempuan tersebut dan akhirnya memeluk Islam.

Koreksi diri

Andai kata ada seorang anak usrah mengatakan usrah kita itu membosankan. Seorang rakan saya mencadangkan agar kita pelbagaikan aktiviti untuk usrah kita itu. Contohnya seperti setiap petang, akan ada latihan badminton bersama atau seminggu sekali main futsal bersama atau lagi seronok kalau sebulan sekali boleh mandi-mandi air terjun.

Mungkin juga kita perlu melihat ke dalam diri sendiri terlebih dahulu. Periksa apa silap atau kekurangan kita. Kalau kita ini orangnya terlalu tegas, belajar buat humor sekali sekala. Kalau kita ini orangnya terlalu bersahaja, belajar tegas sekali sekala.